Tarif Elektrik Naik 37%

Semalam saya agak terkejut bila melihat bil elektrik yang diterima melebihi RM100.00 untuk bulan Ogos. Biasanya bil elektrik tidak melebihi RM100.00. Setelah disemak rupa-rupanya tarif elektrik sudah mula naik sebanyak 37%.

Sebelum ini tarif satu blok kegunaan elektrik bagi 200 blok pertama adalah RM 0.218 manakala selepas itu adalah RM0.289. Tarif baru yang tercatat pada bil adalah RM0.300 untuk setiap blok bagi 500 blok pertama manakala blok seterusnya adalah RM0.390.

Kenaikan ini tidak lain dan tidak bukan pastinya adalah rentetan dari kenaikan harga bahan bakar untuk menjana tenaga elektrik. Namun apa yang dipersoalkan ialah tentang perjanjian berat sebelah antara Pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan TNB seperti yang diperdebatkan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan.

Dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia saya amat berharap agar tarif elektrik dan harga barang-barang keperluan turut turun agar kos hidup yang membebankan rakyat dapat dikurangkan. 

Doa Memulakan Kerja

Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini bertajuk Mari Kita Berdoa, saya telah berjaya mengarang doa memulakan kerja yang dibaca saban hari melalui pembesar suara sejak dua tahun lalu.

Alhamdulillah doa tersebut berjaya dikarang hasil dorongan Bos saya Tuan Haji Basar Ishak di Loji Air Sg Semenyih, Presint 19 Putrajaya yang mengesan bakat saya dalam penulisan berkaitan doa, sajak dan rencana.

Berikut saya tuliskan kembali doa tersebut sebagai kenangan dan perkongsian buat pembaca yang berminat untuk membacanya di tempat kerja (boleh diubahsuai mengikut nama tempat kerja). Doa berikut merangkumi aspek kualiti, keselamatan dan perpaduan di tempat kerja.

————————————&&&&&&&&&———————————–

Doa Memulakan Kerja

Dimulakan dengan bacaan Basmalah dan Solawat Nabi

Ya Allah Ya Tuhan Kami

Setinggi-tinggi kesyukuran kami lafazkan kehadratMu kerana dengan limpah rahmat dan keizinanMu jua dapat kami hadir untuk memulakan kerja pada pagi yang indah dan ceria ini.

Kami juga amat bersyukur dengan nikmat air yang Engkau kurniakan, kerana dengannya dapat kami meneruskan kehidupan bagi menyara diri dan keluarga di dunia yang penuh dengan ujian, cabaran dan persaingan.

Ya Allah Yang Maha Permurah lagi Maha Ehsan

Kehadiran kami di Loji ini adalah untuk mencari rezeki yang penuh keberkatan, justeru limpahkanlah hati kami dengan cahaya keikhlasan, moga dengannya dapat kami kami bekerja dalam suasana harmoni dan penuh keazaman kearah kecemerlangan.

Satukanlah hati-hati kami dalam melakukan pekerjaan, moga dengan itu dapat mengurangkan syak wasangka dan irihati yang membawa kepada perpecahan sesama insan.

Ya Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Menjadikan

Hindarkanlah musibah dan bala bencana semasa kami melakukan pekerjaan, moga dengan itu air yang bersih dapat dihasilkan untuk kegunaan semua insan dan makhluk yang memerlukan.

Kurniakanlah kejayaan kepada syarikat kami seperti mana visi dan misi yang telah digariskan.

Berikanlah kebahagiaan kepada kami samada di alam kehidupan dunia yang sementara begitu juga di alam kehidupan akhirat yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal Alamin

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

Semalam air mata saya sedikit menitis bila membaca kisah pengorbanan Misbun Sidek antara tugas melatih Lee Chong Wei dan masalah kesihatan isteri beliau yang mengidap masalah tekanan darah tinggi dalam Mingguan Malaysia. Sebelum itu saya juga terharu melihat Lee Chong Wei meluru memeluk Misbun ketika berjaya menumpaskan Lee Hyun Ill dari Korea Selatan untuk melayakkan diri ke peringkat akhir sukan Olimpik.

Sebelum ini saya pernah memberi pendapat di radio 24 mengenai tajuk Mampukah Malaysia Mengakhiri Kemarau Pingat Di Sukan Olimpik 2008. Saya mengutarakan pendapat bahawa Lee Chong Wei mampu melakukannya berdasarkan prestasi semasa untuk memenangi emas jika beliau mampu mengatasi tekanan mental. Namun semalam beliau agak gugup dan goyah bila terus diasak oleh Lin Dan sejak awal dan tidak mampu menahan asakan dan tumpas mudah dalam masa 39 minit.

Walau apa pun Lee Chong Wei dan Misbun tetap mencipta sejarah kerana berjaya menamatkan kemarau pingat biarpun hanya pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.

Pengajaran disebalik sukan ialah perpaduan antara manusia biarpun berbeza bangsa, warna kulit dan agama. Sebaliknya politik menjadi punca perpecahan antara manusia biarpun sama bangsa dan agama apatah lagi jika berbeza bangsa dan agama. Justeru saya amat berharap keamanan di Malaysia akan terus kekal biarpun senario politik negara agak kurang stabil buat masa ini.

Semua pihak harus kembali meneliti sejarah Malaysia terutama berkaitan isu keistimewaan agama Islam dan bumiputera. Majlis peguam yang dikuasai oleh kaum minoriti jangan cuba bermain api dengan isu berkaitan agama Islam seperti penganjuran Forum Memeluk Islam baru-baru ini. Selain itu DAP juga jangan cepat melatah menyokong Majlis Peguam kerana ia akan menyalakan lagi api perkauman antara kaum di Malaysia. Mahukan kita menghadapi peristiwa 13 Mei 1969 sekali lagi akibat ketegangan antara kaum suatu ketika dulu?.

Menjelang ulang tahun kemerdekaan ke 51 pada 31 Ogos 2008 yang bakal tiba tidak lama lagi saya menyeru kepada semua warganegara Malaysia agar mengutamakan perpaduan dan keamanan negara ini kerana nikmat keamanan itu amat besar ertinya dalam kehidupan kita.

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH.

Tok Mi Pergi Tak Kembali

Minggu lalu merupakan minggu yang agak padat dalam diari hidup saya. Justeru saya tidak berkesempatan untuk mencoret sesuatu biarpun tangan ini begitu gatal untuk menulis. Petang Sabtu minggu lalu @ 09.08.08 kami sekeluarga pulang ke kampung di Taiping buat menziarahi sanak saudara biarpun tak berkesempatan mengikuti rombongan pengantin adik bongsu saya Ahmad Ridzuan ke Sg Petani Kedah.

Pada hari Ahad bapa mertua saya menunaikan hajat cucu-cucunya untuk membawa mereka memancing di Kuala Trong dengan menaiki bot kecil. Alhamdulillah banyak juga ikan yang kami perolehi antaranya sembilang, senangin, pari, duri dan gelama. Saya bercadang menulis kisah menarik ini jika ada kesempatan nanti. Kami pulang ke Kuala Lumpur pada Petang Isnin berbekalkan ikan yang dipancing, buah durian dan cempedak hadiah dari ayah dan Kak Ngah Asiah.

Hari Selasa saya terpaksa bergegas ke Port Dickson bagi menyiapkan dokumen tambahan ISO 9001:2000 bersama-sama kira-kira 7 rakan sekerja. Biasanya kami akan dikuarantin selama 3 hari 3 malam di Banglo milik syarikat jika ada dokumen ISO yang perlu disiapkan.

Petang Selasa saya mendapat panggilan telefon dari isteri dan emak memberitahu bahawa nenek (Tok Mi) sakit tenat. Saya hanya mempu berdoa moga Allah memanjangkan usia Tok Mi yang sudah menjangkau 83 tahun.

Petang Rabu jam 6.00 petang saya sekali lagi mendapat penggilan dari isteri bahawa Tok Mi telah menghembus nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. Saya bergegas pulang kerumah, tidur awal kerana agak penat serta mengantuk dan bercadang untuk bertolak pulang pada jam 3.00 pagi Khamis. Kami singgah di rumah adik saya Kamaruddin di Kelana Jaya untuk mengambil emak yang ingin turut serta memberi penghormatan terakhir buat Tok Mi. Emak saya merupakan sepupu Tok Mi yang agak rapat. Lebih kurang dua bulan lalu emak sempat menerima pelawaan Tok Mi untuk bermalam di rumah beliau selama 3 malam di Kampung Tua Gunung Semanggol.

Lebih kurang jam 9.00 pagi kami tiba di rumah ayah dan emak di Simpang Taiping tempat Tok Mi berwasiat agar diuruskan jenazah sebelum dikebumikan. Kami sempat menatap wajah Tok Mi yang tenang dan bening buat kali terakhir ketika mayat sedang dikafankan.

Seterusnya jenazah Tok Mi disembahyangkan di Masjid Pekan Gunung Semanggol sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di sebelah masjid tersebut. Upacara pengkebumian tamat lebih kurang jam 11.30 pagi.

Tok Mi  baik orangnya. Begitu  disayangi oleh anak, cucu dan cicit serta sanak saudara. Tok Mi mesra dan melayan semuanya seolah tiada beza. Biarpun sudah uzur Tok Mi tetap menunjukkan kemesraannya kepada semua.

Tok Mi merupakan jiran, yang juga ibu saudara (sepupu emak saya)  ketika kami tinggal bersebelahan rumahnya di Kampung Tua. Rumah kami dipisahkan dengan parit tali air sahaja. Sawah padi Tok Mi terletak bersebelahan dengan sawah padi yang kami usahakan.

Tanpa disangka akhirnya Tok Mi yang saya bahasakan sebagai Maklong Mi akhirnya menjadi Tok Mi apabila saya bertemu jodoh dengan cucunya. Seingat saya Tok Mi antara orang penting dalam proses merisik cucunya. Dengan sokongan Tok Mi yang sering melihat perwatakan saya ketika hidup berjiran dengannya waktu zaman kanak-kanak dan remaja akhirnya pinangan saya diterima. Itulah antara jasa besar Tok Mi dalam hidup saya. Kini saya hidup bahagia bersama cucu Tok Mi, Zainul Izzah dan kami dikurniakan empat cahaya mata.

Kematian itu benar, hidup di alam barzakh itu benar, wahai Salmi bin Rokiah janganlah engkau gentar bila Malaikat datang menyoal…sayup-sayup suara Imam membaca talkin di sisi kubur Tok Mi.

Tok Mi pergi tak kembali..moga Ruh Tok Mi sentiasa dirahmati Allah,tenang, damai dan bahagia di alam sana..kami juga bakal ke sana bila sampai masa…Al Fatihah.

Sila klik url you tube berikut untuk nasyid kumpulan Rabbani bertajuk Pergi Tak Kembali

http://hk.youtube.com/watch?v=0XgJ7mEtACs

Mari Kita Berdoa

Alhamdulillah dengan sedikit kelebihan yang diberikan oleh Allah saya sering diamanahkan  untuk mengarang dan membaca doa di dalam majlis-majlis rasmi yang diadakan oleh syarikat tempat saya bekerja.

Salah satu doa yang berjaya saya karang ialah doa harian yang dibacakan setiap pagi sebelum memulakan kerja. Rasanya sudah lebih dua tahun doa tersebut dibacakan saban hari dan syarikat telah menghadiahkan saya sebatang pena sebagai cenderamata.

Pada 9 Ogos nanti saya juga diamanahkan untuk mengarang dan membaca doa sempena lawatan Menteri Besar Selangor ke Loji Pembersihan Air Sg Semenyih.

Berikut adalah lembaran doa yang telah saya karang untuk majlis tersebut..

—————————————————————————

Teks Doa Sempena Majlis Perasmian Fasiliti Pembotolan Air  Oleh Menteri Besar Selangor Pada 09 Ogos 2008  

Ya Allah Ya Tuhan Kami


Pada pagi yang indah dan ceria ini kami memohon keberkatan dan rahmatmu dalam menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Pembotolan  Air oleh Dato Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

 

Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Kami amat bersyukur atas nikmat kejayaan dalam membangunkan Fasiliti Pembotolan Air di Loji Air Sg Semenyih.
Justeru kami mohon petunjuk dan hidayahMu untuk terus mengamalkan budaya kerja efisien dan kualiti bagi memastikan Fasiliti Pembotolan Air dan Loji Air Sg Semenyih beroperasi dengan baik dan cemerlang setiap masa. Ya Allah yang Maha Kuasa Lagi Maha Menjadikan Anugerahkanlah kecemerlangan kepada syarikat kami sepertimana visi dan misi  yang telah digariskan iaitu untuk menjadi syarikat pengeluar air terunggul di rantau ini. Moga dengan itu air yang bersih dan selamat dapat dihasilkan demi kemudahan dan kebajikan  rakyat negeri Selangor Darul Ehsan. Hanya padaMu kami bertawakkal dan memohon pertolongan setelah usaha dan ikhtiar kami lakukan. Moga segala doa dan harapan kami Engkau Makbulkan. 

Berikanlah kebahagiaan kepada kami samada di alam kehidupan dunia yang sementara begitu juga di alam akhirat yang berkekalan.


Amin Ya Rabbal Alamin 

080808

Bulan Ogos tahun 2008 ini bakal mencatatkan beberapa sejarah tersendiri. Antara yang boleh dianggap besar dan istimewa selain sambutan ulangtahun kemerdekaan ke 51 pada 31 Ogos nanti ialah tarikh 8 Ogos 2008 atau 08.08.08.

Menurut beberapa sumber berita ramai yang akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang unik tersebut terutama masyarakat Cina yang menganggap angka 8 sebagai angka yang bertuah atau ‘ong’

Tanpa disangka rupanya isteriku juga bakal menyambut ulangtahun kelahiran beliau juga pada tarikh 08.08.08 selain dua orang anakku iaitu Muhammad Anas pada 05.08.08 (9 Tahun) dan Ahmad Yasin Nazri pada 07.08.08 (2 Tahun). Ku doakan moga ahli keluargaku dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki serta berbahagia selalu dalam menempuh kehidupan di dunia yang fana.

Selain itu Surau Al Amin Seksyen 8, Bandar Baru Bangi juga bakal menganjurkan majlis forum agama buat pertama kali pada tarikh 08.08.08. Semoga program tersebut bakal berjalan lancar dan meriah hendaknya.

Pada 09.08.08 pula Menteri Besar (MB) Selangor yang baru Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal melawat Loji Air Sg Semenyih tempat kerjaku buat pertama kali. Persiapan sedang sibuk diuruskan oleh Bahagian Perhubungan Korporat.

Adik bongsuku Ahmad Ridzuan (Ali) juga bakal melangsungkan perkahwinan pada 09.08.08 dengan pasangannya di Sg Petani Kedah. Nampaknya perancanganku untuk balik kampung pada tarikh 08.08.08 - 10.08.08 untuk menghadiri majlis perkahwinan adikku sambil menikmati musim buah-buahan di kampung terpaksa dibatalkan kerana cuti dibekukan sempena lawatan MB baru tersebut.   

Ops, satu lagi peristiwa penting di bulan Ogos ini mungkin pilihanraya kecil Permatang Pauh yang bakal menguji dan menentukan halatuju Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia pada September nanti.

Pemburu Yang Diburu

Kita adalah pemburu

Pemburu kasih dan cinta yang sementara,
Pemburu ilmu yang tiada hentinya
Pemburu harta dan takhta
Pemburu nikmat, rasa dan bahagia

Kita juga diburu..

Diburu kecewa, gundah gulana
Diburu derita, duka dan nestapa
Diburu bebayang dosa dan noda
Diburu rantaian hutang yang berjela
Diburu bebanan tugas yang perlu dilaksana

Bukankah pemburu itu ada..
Iman dan taqwa
sebagai peluru dan bekalnya
buat membawa pulang
hasil pemburuan
atas redhaNya..

Bukankah  yang diburu..
Punya tawakkal dan taubat
sebagai pendindingnya
Usaha dan terus berusaha..
Selagi nafas masih mampu dihela
Jangan mudah kecewa..

Kita adalah pemburu
yang juga diburu
saban waktu
hingga bertemu noktahnya
yang entah bila kapan tiba
bersedialah menghadapinya

Abu Aslam

Putrajaya
30 Julai 2008

Ujian Untuk PAS

Isu politik terus hangat dengan isu tawar menawar antara parti demi kuasa, kedudukan, agama dan bangsa. Terbaru kes muzakarah antara UMNO dan PAS yang ditukarkan kepada muqabalah setelah mendapat reaksi negatif dari DAP yang merupakan salah satu parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai 5 negeri dan satu Wilayah Persekutuan.

Selepas isu muzakarah dan perbincangan belakang tabir berkaitan isu kepentingan orang Melayu Islam antara Presiden PAS dan UMNO, Tuan Guru Nik Aziz menghangatkan lagi suasana dengan cadangan penubuhan satu parti teras Melayu hasil gabungan PAS dan UMNO. Jika PAS menerima tawaran UMNO maka kedudukan 5 negeri dibawah PR akan beralih kuasa kepada BN.

Pada saya ada beberapa hikmah yang dapat dibincangkan dalam isu di atas.

1) PAS tidak harus tunduk kepada rakan-rakan komponen PR dalam isu teras (hak istimewa orang Malayu Islam)
2) UMNO bijak memainkan isu kepentingan Melayu Islam bagi menarik perhatian PAS
3) PAS perlu berhati-hati dalam mengkaji tawaran dari UMNO dan tidak terperangkap seperti suatu ketika dulu.
4) DAP perlu menghormati Perlembagaan Negara berkaitan hak istimewa orang Melayu berkaitan agama, bahasa serta pendidikan jika ingin terus memerintah di empat buah negeri (tidak termasuk Kelantan).

UMNO akan terus membuat tawaran kepada PAS sebelum September 2008 memandangkan PR dijangka membuat kejutan untuk memerintah negara berdasarkan kenyataan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato Seri Anwar Ibrahim yang hangat diperkatakan.

Walau apapun formula yang bakal terlaksana saya amat berharap agar kepentingan dan perpaduan orang Melayu Islam tidak tergadai di bumi tercinta ini.

Don Tobin

Minggu lalu saya tidak berkesempatan untuk mencoret sesuatu di dalam blog kerana agak sibuk dengan kursus Lead Auditor ISO 9001:2000. Kursus tersebut di kendalikan oleh Sirim Training Services (STS) di Hotel Concord Shah Alam. Penceramah untuk kursus tersebut adalah dari syarikat RABQSA Australia yang bernama Mr Don Tobin.

Apa yang menarik ketika sesi suai kenal beliau ada memberi sedikit komen tentang isu bahasa Inggeris dan Standard serta beberapa isu tertentu yang mana Malaysia sering menjadikan negara Britain sebagai rujukan. Ini adalah kerana Malaysia bekas tanah jajahan Britain. Namun Malaysia lebih bernasib baik kerana telah merdeka berbanding Ireland iaitu tanah air Don Tobin yang terus ‘terjajah’ hingga kini di bawah Britain.

Mr Don Tobin menunaikan tugas sebagai penceramah yang berkesan dan menarik serta tidak menjemukan dengan keupayaan persembahan beserta ‘body language’ membuatkan ramai yang sukar terlelap biarpun telah menikmati makan tengahari yang lazat dan mewah di hotel tersebut. Sepanjang lima hari lima malam kami disibukkan dengan sesi ceramah dan latihan dalam kumpulan di siang hari manakala pada sebelah malam terpaksa menghabiskan ‘assignment’ yang diberikan di rumah.

Banyak ilmu dan kemahiran yang diberikan oleh Mr Don Tobin kearah menjadi Lead Auditor sistem pengurusan kualiti ISO 9001:2000 namun ilmu tersebut perlu dipraktikkan selalu jika benar-benar ingin menjadi seorang Lead Auditor yang bertauliah.

Syarikat tempat saya bekerja telah menghantar lima orang peserta termasuk saya yang sering terlibat sebagai ‘Internal Auditor’ di tempat kerja. Rakan-rakan sekerja begitu puas dengan sesi latihan tersebut biarpun agak penat kerana kualiti penceramah yang cemerlang.

Syabas STS dan Mr Don Tobin.

Sejarah Berulang Lagi?

Semalam perhatian rakyat pastinya tertumpu kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI).  Setelah memberi keterangan di Pejabat Badan Pencegah Rasuah Putrajaya beliau dikatakan bergegas pulang untuk memberi keterangan berhubung kes liwat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala lumpur (IPPKKL).

Menurut media massa semalam beliau telah ditahan dan ditangkap oleh sekumpulan Polis Komando dari Unit Tindakan Khas (UTK) lebih kurang 50 meter dari rumah beliau di Segambut. Menurut Peguam DSAI beliau ingin pulang kerumah sebentar sebelum ke IPPKKL bagi mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga.

Hari ini Perdana Menteri memberi jaminan kes mata lebam tidak akan berulang setelah Naib Presiden Parti Keadilan (PKR) Rakyat bertemu beliau di Parlimen. Pengarah Siasatan Jenayah Dato’ Mohd Bakri Zinin juga memberi jaminan bahawa DSAI selamat dalam tahanan Polis. Menurut media juga semalam seramai 500 penyokong PKR berhimpun di Jalan Hang Tuah berhampiran IPPKKL bagi memberi sokongan kepada DSAI dan meminta beliau dibebaskan dengan ikat jamin.

Sebagai pencinta kedamaian dan keadilan saya berharap kes DSAI disiasat dengan adil dan telus tanpa ada sebarang konspirasi politik. Sekali lagi saya menegaskan dan juga berharap agar kes berprofil tinggi sebegini sewajarnya di siasat oleh Panel Siasatan Suruhanjaya DiRaja.

Ini adalah kerana DSAI telah membuat laporan rasuah terhadap Ketua Polis Negara dan juga Peguam Negara yang dikatakan terlibat dengan kes pemalsuan laporan perubatan kecederaan DSAI pada tahun 1998.